Dymm Yang Dipertuan Agong Beri Anugerah Diraja Bagi Kewangan Islam Pada 2 September 2014

14 Aug 2014

Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam (Anugerah Diraja) akan diadakan di Malaysia pada 2 September 2014 bersempena Forum Kewangan Islam Global 2014 (GIFF 2014).  Anugerah Diraja tersebut, yang diadakan setiap dua tahun, diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Disampaikan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Anugerah Diraja tersebut mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada penggiat kewangan Islam dengan pencapaian dan inovasi cemerlang yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi global dan kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia.

“Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam telah menyaksikan peningkatan pencalonan sebanyak 25% sejak anugerah pertama pada 2010 dengan calon-calon dari serata dunia. Melalui kepimpinan dan dedikasi luar biasa penggiat dan perintis inilah, kewangan Islam tumbuh dengan pantas dalam ekonomi Muslim dan bukan Muslim,” kata Tun Musa Hitam, Pengerusi Panel Juri.

Calon-calon bagi Anugerah Diraja 2014 adalah dari pelbagai rantau di serata dunia:

  • Afrika (2%)
  • Eropah (19%)
  • Timur Tengah (33%)
  • Amerika Utara (7%)
  • Asia Selatan (10%)
  • Asia Tenggara (29%)

Penal juri antarabangsa bebas yang terdiri daripada tujuh ahli dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam, akan memilih individu yang layak bagi anugerah tersebut.  Panel juri adalah terdiri daripada pemimpin pemikir dan pakar industri dalam kewangan Islam dari pelbagai pelusuk rantau Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Proses pemilihan Anugerah Diraja tersebut adalah utuh, objektif dan bebas.  Kriteria pemilihan memberi tumpuan kepada aspek-aspek kualitatif dan kuantitatif sumbangan cemerlang setiap calon kepada kewangan Islam di peringkat global.  Ini termasuk usaha inovasi dan perintisan kewangan, kepimpinan terbilang, penerimaan dan pengiktirafan oleh pihak industri serta inspirasi dan pengaruh terhadap kemajuan masa depan dan pembangunan kewangan Islam.

Penerima Anugerah Diraja tersebut akan menerima medalion dan sijil pengiktirafan. Penerima anugerah akan memulakan usaha untuk mendidik masyarakat mengenai peranan kewangan Islam dalam ekonomi global melalui ceramah industri dan awam, seminar dan persidangan.

Penerima anugerah terdahulu yang diiktiraf usaha mereka dalam memajukan kewangan Islam ialah Iqbal Khan pada 2012 dan Shaikh Saleh Abdullah Kamel pada 2010. Anugerah Diraja pada 2010 juga mengiktiraf Allahyarham Dr Ahmad El-Naggar dengan penghormatan selepas kematiannya.  Sering dirujuk sebagai `Bapa Moden Perbankan Islam’, Dr El-Naggar menerajui ekperimen moden pertama dalam perbankan Islam dengan mewujudkan simpanan bank berasaskan perkongsian keuntungan.

Iqbal Khan, yang juga akan membuat penyampaian di GIFF 2014 ketika sesi “Membangunkan Pasaran bagi Hubung Kaitan Global”, merupakan pakar dalam pembangunan sukuk kedaulatan global pertama dunia yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.  Beliau telah menggalakkan pengenalan sukuk kedaulatan global dan meneraju proses pemikiran Syariah ke arah lebih pemahaman terhadap konsep sukuk global mata wang asing.  Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam menubuhkan sebilangan institusi dan inisiatif dalam industri kewangan Islam, termasuk Citi Islamic Investment Bank, Projek Kewangan Islam di Universiti Harvard, Meezan Bank, HSBC Amanah dan paling terkini, Fajr Capital, yang mana beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Shaikh Saleh Abdullah Kamel telah memulakan pemakaian prinsip patuh Syariah dalam perbankan dan perniagaan dan merupakan salah seorang daripada individu pertama yang mewujudkan kontrak Islam untuk digunakan pada tahun 1960-an.  Beliau telah memulakan kumpulan syarikat yang menyediakan peruncitan, perbankan korporat dan pelaburan dan perkhidmatan perbendaharaan patuh Syariah serta Islamic Arab Insurance Company, sebuah syarikat perintis takaful (insurans). Bagi menggalakkan dan membangunkan bakat dan inovasi masa hadapan, beliau telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Ekonomi Islam, Universiti King Abdulaziz dan Pusat Sains dan Teknologi Jeddah di Arab Saudi.  Beliau juga mengasaskan Pusat Ekonomi Islam Saleh Kamel, Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Pusat Pengajian dan Penyelidikan Perbankan Saleh Kamel, Universiti King Saud, Arab Saudi.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi pihak Initiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) 

Related Posts